Khamis, Julai 25, 2013

CERTOT : HADAM

Dalam tidak pasti dia menaip pesanan ringkas. Dititip tulis penuh berhati. Otaknya mula bekerja menyusun patah kata. Satu persatu huruf disambung cantum, agar nanti perkataan yang terhasil itu tidak punya cacat cela. Bimbang benar hatinya jika niat diri disalah tafsir. Bukan untuk terhegeh-hegeh, sekadar mahu memberitahu yang dia sentiasa ada biar sampai bila-bila walau dia tahu yang dia bukan lagi diperlukan seperti masa dulu dan lalu.

Dulu dia gembira seronok dan berbunga-bunga harinya. Setiap saat ada saja keindahan dan kejutan rasa. Apa saja yang terlintas bahagia, dia catat atau dia hafal memori detiknya itu. Agar nanti dia tahu bahawa kenangan yang tercipta itu suatu kurniaan yang paling ulung.

Rindu.

Itu dulu. Kini, hari ini, esok dan seterusnya, semua sekali telah berubah. Sedikit punah dan setiap detik masa itu menjarakkan mereka. Menjauhkan dia dari si dia. 

Dia akur.
Dia telan dan cuba hadam.
Ini ketentuan atau dugaan.

Tapi satu persoalan yang dia sering mahu aju tanyakan pada Tuhan.

"Apakah ingatan yang bersisa ini menerbitkan kerinduan yang paling dalam?"

Sehari 5 kali dia berdoa setiap masa dalam solat sujudnya itu. Setiap 5 kali dia meminta perkara yang sama. Muga dijauhkan segala rasa.

Tapi setiap 5 kali itu makin diminta jauh, makin mendekat dia merasa. 

Rindu.

Dia makin rindu dan makin mahu.

Dia kembali bertanya pada diri.

"Apakah si dia itu bayang-bayang masa depan ku?"

Dia akur.
Dia telan dan cuba hadam.
Ini ketentuan atau dugaan.

Pesanan ringkas selesai ditaip tulis. Dengan lafaz 'Bismillahirrahmanirahhim, dan tawakal pada ALLAH' dia menekan punat 'send'.

Tarik nafas lega.

"Hye... Muga lekas sembuh yaa.!"

Pesanan itu dihantar tanpa diletakkan harapan muga ia terbalas.
Dia tahu, itu pesanan satu hala.
Tanpa balasan.
Tidak seperti dulu-dulu.

Dia akur.
Dia telan dan cuba hadam.

Itu pesanan ringkas nya yang ke 9 .


p.s : bila jemu masih belum cukup tugasnya.

Tiada ulasan: