Khamis, Jun 21, 2012

CERTOT : NOTIFIKASI

Hampir 28 jam tiada deringan BUZZ ataupun PING. Maka pada waktu itu juga, dia seperti  mahu berputus asa dan segala. Mungkin lepas ini dia hanya perlu belajar bagaimana untuk redha atau pun pasrah. Dalam keadaan dia cuba memujuk diri. Saat dia cuma memanipulasi perasaan sendiri. Tiba-tiba sahaja di skrin telefon genggamnya itu punya notifikasi.

"Maaf."

Dia senyum tawar. Longlai dan lemah. Hebat. Sangat hebat. Kuasa tarikannya mampu mengoyahkan dia. Bualan kembali rancak sama seperti sebelumnya itu. Bila hari mula lesu dan tugas matahari pun diganti bulan hingga bulan pun mahu berundur, maka berhentilah mereka dari berbual bicara. Diucapkan selamat malam dan terima kasih untuk keseluruhan hari harinya itu.

Pagi ini. Rutin biasa adalah mengucapkan selamat pagi.Tanpa balasan seperti biasa, dia meneruskan sahaja harinya supaya berlalu penuh terisi dan berisi. Di kirimkan jua beberapa pesanan ringkas memancing perhatian. Satu kali. Dua kali. Tiga kali. Berhenti. Sibuk mungkin untuk membalas. Empat kali. Lima kali hingga malam pun muncul kembali. Tetap bisu. Tanpa balasan. Penat barangkali.Kiriman "Selamat Malam." adalah kiriman terakhir untuk hari itu.

Esok, sama juga rutinnya. Ucapan Selamat Pagi seperti biasa. Kali ini dia sekadar menunggu. Hingga malam muncul. Tiada satu kiriman balasan. Hampa. Dia tamatkan hari itu dengan ucapan Selamat Malam seperti selalunya.

Hari siang. Hari ketiga. Rutin yang sama. Yang tinggal cuma dia sahaja yang rancak berkata. Pihak di sana hanya bisu dan diam. Senyap.

Dalam hati terdetik satu perkara. Mengapa dia sahaja yang bersungguh dalam segala? Dia yang mulakan bicara. Tapi satu balasan tidak diterima. Tidak mengapalah, mungkin dia perlu sedar diri. Kena belajar berasa penat bila dah selalu berlari.

Esoknya lagi dia masih seperti selalunya. Mengirimkan selamat pagi dan malam juga seperti selalunya. Yang pasti pihak di sana sentiasa diam dan senyap. Bisu dan tanpa respon apa-apa. Kali ini dia terdetik sesuatu yang sebenarnya dia berasa sedih, hampa dan kecewa. Mengapa disalah tafsirnya dia? Bukan dia sengaja mahu menjengkelkan, bukan dia sengaja mahu kelihatan seperti terhegeh-hegeh, bukan dia mahu menagih simpati atau mahu menyibuk dalam kehidupan pihak sana. Cuma dia merasakan seronok punya teman sepertinya. Tapi apakan daya, dalam berkawan mana boleh ada paksaan. Kena berani menerima. Tidak mengapalah, dan kali ini dia nekad untuk memberhentikan segalanya. Nekad. Dia bersungguh rasa penat. Semuanya dah kembali tawar, tiada rasa. Kosong dan gelita.

Hari berikutnya dia tidak lagi mengirimkan apa-apa. Segalanya dia padam dan buang jauh-jauh. Tidak lagi dia hadir di ruang yang sama, menyokong dan mengintai dari jauh seperti selalunya. Tidak lagi ada lonjakkan rasa untuk bertemu atau bertanya berita, tiada lagi kata dorongan untuk segala kerja dan usaha. Dia kali ini hanya diam. Diam semahunya dia. Lama kelamaan hanya ada satu rasa yang tersisa. Iaitu lega. Teramat lega.

p.s : jangan bersungguh sangat. nanti penat.

Tiada ulasan: