Maka dijadikan sebuah nukilan rasa, sebuah bicara biasa yang ditambah perisa, membakar rasa jiwa dan mencuri segala warna ceria.
Malam itu sekali lagi kumpulan ini menari. Sekali lagi lemah gemalai dan tertib lontar tubuh dan lenggok badan tetap berseni dan terjaga rapi. Disekeliling duduk segala orang yang datang mahu berhibur dan melepas lelah, hadir di satu pesta keramaian rakyat.
Dalam kumpulan itu, wujudnya sepasang mata yang cantik, indah, mekar dan nakal. Dimiliki oleh seseorang yang manis dan molek gaya budi bahasa dan air wajahnya. Ditempat yang sama juga hadirlah seorang jejaka biasa yang turut serta bersama gerangan lainnya.
Malam itu, mata bertemu mata. Sepasang mata yang segan dan malu, sepasang lagi begitu suka memerhati. Bila mata bertemu mata, ada semacam aliran rasa yang mula meneroka segenap ruang tubuh. Ya, apakah ini rasanya indah bahgia?
Selesai keramaian, maka si jejaka cuba untuk menghampiri si pemilik mata. Si jejaka segan kerna si pemilik sudah berpunya. Si jejaka senyapkan sahaja, diintai dari jauh. Kadang kala mengeluh bila melihat si pemilik mata bersama dengan jejaka pilihannya. Si jejaka senyumkan aja, buat apa digaduh dengan perasaannya itu?
Pada malam berikutnya, aktiviti yang sama, hadir si jejaka melihat lagi si pemilik mata. Si pemilik mata masih lagi nakal dengan matanya. Masih mencari peluang dan ruang untuk disuakan kepada si jejaka. Si jejaka sekali lagi tersentuh hati dan jiwanya. Kali ini si jejaka merasakan jiwa dan hatinya dicuri. Dicuri oleh pemilik mata.
Kalau begini lah jadi nya, maka sampai bila?
Maka malam esoknya si jejaka beranikan diri, berdepan mata dengan si pemilik mata. Ditanya lah dia segala rasa.
"Jiwa saya hilang dicuri oleh mata awak yang memandang... boleh pulangkan semula pada saya agar saya bisa berikan pada siapa yang mahu menyimpannya?"
"Tidak mahu, saya mahu simpankan ia didalam kotak hati milikan saya.."
"Mengapa?"
"Biar jiwa awak itu tiada siapa yang dapat dipunya melainkan saya..."
Si jejaka senyap. Pasrah. Ini memang racun. Racun.
P.s : mata-mata indah.